Monday, October 11, 2010

Riwayat Hidupku - Bahgian Keempat

Menjadi “Thamby”

Dalam usiaku antara sepuluh dan dua belas tahun, aku pernah membantu di warong Bai Sarbat, Mama Kambing Sup dan Mama Mee Goreng di tempat makan tidak jauh dari rumahku. Puas aku dimarahi kalau ada yang tidak kena. Kadang kala diriku dipersalahkan kalau penjualan hari itu tidak begitu baik, namun setiap kali akhir malam sebelum pulang, aku akan merayu agar diriku dibenarkan membantu lagi pada esok hari.

Mama-mama India tahu akan kesusahan keluargaku, kerap juga mereka katakan kepada aku:

“Tamby, hari ini last, besok tak mu mari.”

Yang madsudnya pada malam itu merupakan malam yang terakhir aku boleh membantu di situ. Lebih-lebih lagi kalau ada kesilapan seperti pinggan mangkuk yang jatuh atau aku dimarahi oleh pelanggan kerana tersalah menghantar makanan.

Tetapi bilamana mereka melihat wajahku, timbul perasaan belas kasihan kepadaku, lantas mereka akan panggil aku membantu lagi. Begitulah yang berlaku hampir setiap malam. Aku mula membantu mereka dari jam 6.00petang hingga jam 12.00malam. Setiap malam aku akan diberi $1.00 dan sebungkus makanan.

Setelah aku dewasa, apabila aku pulang ke rumah ibuku di Kallang Airport dan bertemu dengan mama-mama yang masih hidup dan menjaja di sana, mereka akan memelukku dan ada yang sampai menangis mengenangkan semula masa silamku bersama mereka. Aku telah membesar di hadapan mereka.

Kesusahan telah menyebabkan kami sering dipandang hina. Ibuku yang keluar bekerja juga sering juga dilontarkan tohmahan dan fitnah. Keluargaku yang berantakan hanya mendapatkan cemuhan. Yang lebih memilukan aku, apabila yang mencemuh itu terdiri tidak lain daripada saudara-mara dan bangsaku sendiri.

Untuk menghulurkan bantuan adalah jarang sekali, kebanyakkan mereka mengatakan, mereka mempunyai masalah sendiri, tetapi mereka sedikitpun tidak mempunyai masalah untuk mengutuk dan mencemuh kami. Begitulah sikap bangsaku sendiri terhadap kami.

Namun aku tetap akan mendoakan saudara-maraku yang sentiasa menghulurkan simpatinya kepada keluargaku, khususnya Pakcik dan Makcikku Hj. Ahamad Sulaiman dan Hajjah Bee. Merekalah antara orang yang tidak jemu-jemu membantu kami hinggalah kami semua dewasa.


Pembantu Rumah

Pada setiap musim cuti persekolahan, aku dan kakakku akan dihantar ke rumah salah seorang ibu saudaraku pada setiap hujung minggu. Di samping aku dan kakakku membantu ibu saudaraku yang ketika itu baru mendapatkan anak, kami dua beradik akan ditanggung makan-minum selama kami berada di sana.

Namun tempat teduh yang sangat diharapkan pada satu hari mula bergelora. Salah seorang ahli rumah tersebut telah kehilangan wang. Cari punya cari, maka wang tersebut didapati berada di dalam saku seluarku yang kononnya tercampak di hadapan pintu bilik ibu saudaraku.

Aku dituduh mencuri wang tersebut dan hampir dihalau dari rumah itu. Demi Allah yang jiwaku berada ditanganNya, aku tidak mencuri wang tersebut. Mujurlah ada di kalangan ahli rumah itu dapat berfikir dengan waras. Beliau bangkit untuk membela aku yang ketika itu masih sangat kecil untuk mencuri wang sebanyak itu.

Menurutnya kalau betul aku mencuri wang tersebut, bagaimana seluar aku tiba-tiba boleh berada di hadapan pintu bilik ibu saudaraku sedangkan seisi rumah sedang sibuk mencari wang tersebut. Rupa-rupanya ada salah seorang di kalangan ahli keluarga tersebut yang lain telah mencurinya.

Begitulah hikmah rahasia Allah swt. Aku teringat kisah Nabi Yusuf as semasa beliau menumpang hidup di salah sebuah rumah orang ternama di negeri Mesir. Keadaan Nabi Yusuf as telah menyebabkan isteri pembesar tersebut ingin berbuat jahat terhadapnya.

Tatkala hampir terjadi apa yang berlaku antara seorang lelaki dan perempuan di dalam sebuah bilik, maka tiba-tiba si Pembesar negeri itu datang membuka pintu biliknya.

Melihat kepulangan suaminya, maka dengan segera si wanita itu segera bersorak seolah-olah dia akan diperkosa. Nabi Yusuf as hanya dapat berdiam diri, kerana dia sedar sudah tentu tiada siapa yang akan percaya padanya.

Namun kebenaran akan sentiasa bersama orang yang benar. Muncullah seorang di kalangan ahli keluarga tersebut yang cuba mengadili keadaan itu. Berkata lelaki yang berhemah tinggi itu:

“Jika pakaian Yusuf didapati koyak dari depan, maka berarti benarlah si wanita itu, jika didapati koyak tersebut terdapat di belakang maka jelaslah Yusuflah yang benar dan si wanita itulah yang sebenarnya yang mahu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Yusuf.”

Maka apabila diperiksa pakaian Yusuf, didapati pakaiannya itu koyak di belakang, dengan itu terbongkar segala angkara si wanita isteri kepada pembesar negeri Mesir. Kisah ini telah Allah swt ceritakan di dalam Al-Quran untuk dijadikan sebagai iktibar yang kebenaran akan tetap terserlah.


Mula Bekerja

Aku mula bekerja sebagai pembantu tukang kayu di kilang perabot, pada mulanya memang seronok bekerja, setiap hujung minggu aku akan dapat gaji. Sehari aku diberi $4.00. Kemiskinanku selama itu telah menjejas fisikalku, aku bertubuh kurus dan sangat lembab pergerakanku. Kerana sebab itulah aku sering dicaci dan dimaki oleh majikanku kerana lambat menghabiskan kerja.

Aku bertukar dari satu kerja ke satu kerja yang lain. Pernah satu ketika aku bekerja di Soon Chow Pte Ltd, sebuah syarikat membuat bas awam yang terletak di Kallang Puding Road. Ketika itulah kepalaku pernah dijotos kerana lambat menghabiskan kerja.

Kata tauke ku:

“bla.. bla.. bla.. (maki dalam bahasa cina), you`re good for nothing, you`re going to get sack.”


Menyertai Kumpulan Samseng

Dalam suasana hidup yang seperti itu, aku menjadi semakin liar. Aku menyertai kumpulan samseng bagi mencari martabat dan perlindungan. Kerap kali aku akan ditahan reman di lock-up Joo Chiat Police Station atau di Beach Road Police Station, dengan setiap kali tahanan selama 24 jam. Itulah cara pihak polis ketika itu, untuk membendung kenakalan para remaja dan kumpulan-kumpulan samseng gelap.

Tidak seperti remaja-remaja nakal hari ini, mereka harus merasa beruntung kerana “Hak asasi manusia” telah menghilangkan sistem polis yang terdahulu. Aku bersyukur sistem yang seperti itu sebenarnya telah membantu remaja seperti aku untuk mencari perubahan hidup.

Seperti remaja sekarang, hidupku dipengaruhi oleh tren semasa, kerana kekosongan jiwa dari pengajaran agama Islam. Aku tidak pernah kenal akan erti ajaran Islam. Aku tidak menyalahkan sesiapa kerana menjadi begitu. Suasana dan keadaanlah yang telah mempengaruhi diriku. Paling aku gemari adalah menghadiri upacara pengkebumian orang Cina mati. Di situ yang hadir akan diberi makan kuih-muih Cina dan minuman botol air gas. Apabila aku turut mengantar sampai ke kuburan, setiap yang hadir akan diberi duit sepuluh sen yang dibungkus dengan kertas merah.


Merokok

Pada usia remaja setelah memperoleh pendapatan sendiri, aku telah mula merokok. Aku telah mula merokok dalam usia seawal 14 tahun hinggalah usiaku menjangkau 27 tahun barulah aku berhenti merokok.

Benar sekali ajaran Islam dalam menetapkan bahawa betapa pentingnya untuk mewujudkan suasana dan keadaan yang baik dan sihat, suasana akan memainkan peranan yang penting untuk mencorak penghidupan seseorang.

Aku berharap, para remaja sekarang yang membaca riwayatku ini, dapat mengambil langkah yang serupa seperti aku dalam memilih jalan perubahan kehidupanku. Kalau tidak kita akan terus hidup dengan bermasalah sampai bila-bila.

Memang seronok menjadi anggota kumpulan samseng, ia menjadikan kita berani untuk melakukan apa sahaja. Berani apabila kita ramai, tetapi kalau sendiri, kita akan merasa gerun, takut kalau-kalau terserempak dengan kumpulan lain atau terserempak dengan orang yang pernah kita “bedal” ramai-ramai. Di sana-sini orang “segan” kepada kita, namun sebenarnya orang bukan segan dan takut kepada kita, tetapi orang benci dan tidak senang kepada kita.

Di kalangan kawan dan lawan, aku memang disegani dan ditakuti. Di kalangan masyarakat dan jiran tetangga, aku semakin dibenci dan hilang segala simpati.

Masyarakat memandang kita sebagai “sampah” yang mahu mereka lontarkan sahaja ke dalam tong sampah. Aku harap remaja-remaja sekarang yang melibatkan diri mereka dengan kumpulan-kumpulan samseng, agar dapat berfikir dengan waras.

Aku lantas berfikir, sampai bila kita mahu menjadi seperti itu? Sampai bila kita dapat sentiasa di kelilingi oleh rakan-rakan yang satu kumpulan dengan kita. Pasti ada satu saat atau satu ketika yang mana kita akan menyendiri.

Bunuh Diri

Antara teman-teman sepermainanku semenjak kecil adalah kawan-kawan berbangsa Cina yang sejiran denganku. Wah Chai, Man Chai, Ah Chai, Peng Soon, Ah Choy, Ah Cheong adalah nama-nama yang tidak pernah aku lupakan. Merekalah kawan-kawanku semenjak kecil sehingga kami menjangkau usia remaja. Bersama mereka aku bermain goli, police and Thief, berenang laut di Katong Park, berbasikal, menjolok buah mangga orang, menonton wayang, hinggalah kami dewasa, kami membentuk satu kumpulan bermotosikal. Susah senang kami sering bersama. Antara mereka yang akrab denganku adalah Wah Chai yang nama glamornya adalah Chuck. Aku dan Chuck sering bersama, khususnya apabila aku ada masalah, dialah yang akan menemankan aku, begitu juga apabila dia mempunyai masalah, aku pula yang akan menemaninya.

Pernah suatu ketika kami sama-sama dilandung masalah dengan keluarga. Maka dengan basikalnya, kami berputar sekeling Singapura hingga ke larut malam. Pada malamnya kerana kedua-dua kami bertekad tidak mahu pulang, maka kami memutuskan untuk tidur di sebuah bus stop di hadapan nite club Oasis di Kallang Park tidak jauh dari stadium negara.

Jam ketika itu sudah melewati lebih dari tengah malam. Tiba-tiba di bangunan nite club Oasis itu aku seperti ternampak lembaga putih seorang wanita yang tidak ada kepala mundar-mandir di tingkap bangunan tersebut. Aku lantas mengejutkan Wah Chai. Wah Chai bangun dengan terpinga-pinga, aku tunjukan kepadanya apa yang telah aku nampak. Alangkah takutnya kami lantas kawanku terus mencapai basikalnya bersedia untuk cabut lari, akupun apa lagi, segera melompat naik kebasikalnya dan terus dikayuhnya macam lipas kudung. Semenjak itu kami tidak berani kekawasan itu pada malam hari.

Padahal kawasan nite club tersebut dan juga kawasan Stadium Negara adalah kawasan yang mana aku sering menjaja nasi lemak dan epok-epok di siang hari semenjak mula ia dibina.

Itulah kenangan yang tidak dapat aku lupa semasa kecilku bersama kawan-kawanku. Setelah kami dewasa, keadaan menjadi berubah, Wah Chai temanku kerana tidak dapat menerima hakikat keluarganya mempunyai masalah, maksudku antara bapa dan ibunya, dia mula mengambil dadah, kononnya untuk meredakan tekanan jiwanya. Dadah yang popular ketika itu adalah pil MX. Namun, setiap kali kekhayalan dadah itu habis, perasaannya kembali menjadi tidak tenteram.

Pada suatu hari pada tahun 1976, aku mendapat satu berita yang sangat memeranjatkan aku. Temanku Wah Chai telah membunuh dirinya dengan mengabil pil MX yang berlebihan lalu terjun dari tingkat sembilan di blok 91 yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Tubuh badannya hancur dengan luka-luka. Aku menangis melihat mayat kawanku itu. Banyak di kalangan teman-teman kami yang hampir-hampir tidak mempercayai yang temanku Wah Chai boleh bertindak sedemikian.

Inilah akibat tindakan manusia yang tidak beriman, bagi mereka mati merupakan penyelesai yang terbaik. Namun aku juga pada ketika itu tidak menyedari hakikat ini melainkan setelah aku diselamatkan oleh Islam. Antara kebodohan aku ketika itu, kerana terlalu akrab dengannya, aku dan teman-temanku telah memainkan gitar di sepanjang majlis kematiannya hinggalah mayatnya itu dikebumikan, kononnya mahu menenangkan jiwanya dengan lagu-lagu kegemarannya. What a stupid things to do !

Sekarang baru aku sedar dengan sinaran Islam, tiada orang yang hidup tanpa masalah dan tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Mengambil dadah, bunuh diri atau mengambil langkah-langkah yang tidak diredhai Allah swt, tidak akan menyelesaikan masalah kita. Segala masalah datangnya dari Allah swt dan hanya melakukan perkara-perkara yang disukai Allah sahaja yang boleh menyebabkan Allah melepaskan kita dari segala masalah.



Bersambung lagi...........................

Wednesday, August 18, 2010

Jadikanlah Puasamu Puasa yang Diterima Allah swt

Alhamdulillah, segala puji kepunyaan Allah swt yang telah memberikan segala yang baik untuk kita hambaNya, selawat dan salam dilafazkan kepada penghulu segala nabi, Nabi Muhammad saw, atas keluarganya, para sahabatnya dan sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah mereka hingga ke akhir zaman.

Marhaban ya Ramadhan! Bulan Ramadhan akan muncul kembali, kemunculannya adalah suatu kepastian cuma sahaja sama ada kita akan bertemu dengannya, belum pasti lagi. Jika diberi kesempatan atau kita sekali lagi terpilih untuk berada pada bulan Ramadhan, apakah persiapan kita bagi menyambut kedatangan bulan yang paling mulia ini?

Nasihat saya, agar kaum muslimin muslimat dapat bersedia untuk menyambut tetamu istimewa ini, paling tidak pun persiapan dari segi keikhlasan menyambut kedatangan bulan ini, iaitu kita pujuk atau paksa hati kita agar merasakan suka untuk menerima kedatangan Ramadhan, bukan dengan hati yang benci, gundah dan resah terhadap kedatangan Ramadhan, kerana dikatakan hanya syaithan dan para pengikutnya sahaja yang benci kepada bulan Ramadhan, sebab mereka akan diikat dan tidak dibenarkan bebas untuk melakukan segala macam kejahatan.

Sabda Rasulullah saw:

عن ابن مسعود عن النبي صلى الله عليه و سلم أنه قال يا بن مسعود إذا دخل شهر رمضان تغل الشياطين

"Apabila datang Ramadhan syaithan akan dirantai."

 Sudah tentu semua sudah menyedari hakikat bahawa syaithan ada dua jenis, di kalangan bangsa jin dan manusia. Maklumat ini adalah berdasarkan kenyataan Allah swt pada hujung Surah an-Nas - Minal jinnati wan Naas. Oleh itu, tidaklah orang yang membiarkan dirinya merasa benci terhadap bulan Ramadhan melainkan ianya bererti dia telah menjadikan dirinya sebagai 'syaithan'.

Yang kedua, kita menyambut kedatangan Ramadhan dengan ilmu pengetahuan terhadapnya. Hanya dengan ilmu kita akan dapat memperoleh segala kebaikannya, sebaliknya tanpa ilmu tentangnya pula ramai yang akan mensia-siakan dan membiarkan berlalu segala peluang kebaikan yang ada.

Antara asas ilmu yang patut diketahui tentang Ramadhan adalah padanya kita diwajibkan berpuasa, bila dilakukan dengan betul mengikut syarat-syarat Islam, maka ibadah puasa yang dilakukan akan diterima dan diberikan ganjaran. Sebaliknya, apabila puasa itu dilakukan dengan cara yang tidak betul, maka segala penat lelah dan lapar dahaga tidak akan dinilai sama sekali.

Perhatikan sabda Nabi saw ini:

وقد قال صلى الله عليه وسلم كم من صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش

"..Ada ramai yang berpuasa tetapi puasanya itu hanya menyebabkannya mendapatkan lapar dan dahaga sahaja."

 (Riwayat an-Nasaa'i dan Ibnu Maajah)

Ketahuilah, amalan puasa bukanlah merupakan amalan khusus umat Islam. Pada ayat perintah kewajipan berpuasa, Allah swt telah pun beritahu bahawa amalan puasa telah diamalkan oleh orang-orang sebelum kita.

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum sebelum kamu agar kamu bertaqwa."

Ibadah puasa adalah suatu ibadah yang diamalkan kebanyakan agama. Agama Yahudi, Nasrani, Hindu, Buddha dan lain-lain. Seperti juga ibadah sembahyang juga diamalkan oleh semua agama. Islam mendatangkan suatu definisi yang tersendiri tentang maksud sembahyang dalam Islam agar umat Islam tidak terkeliru, bahawa hanya sembahyang yang bersesuaian dengan definisi Islam sahaja yang diterima iaitu suatu amalan khusus yang dimulakan dengan Takbiratul Ihram dan diakhiri dengan Salam.

Kemudian, Islam telah menetapkan bahawa umatnya diwajibkan pula mengikuti dan mencontohi Sunnah Rasulullah saw dalam pelaksanaan solat, maka dengan itu kesucian ajaran agama ini dapat terpelihara dan tercapai matlamat yang sedia ada pada setiap ibadah dalam Islam.

Sabda Nabi saw:

صلوا كما رأيتموني أصلي

"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat."

[HR Al-Bukhariy]

Oleh itu, dengan segala ketetapan sedemikian segala bentuk ibadah solat yang tidak bertepatan dengan ajaran Islam dan Sunnah Rasulullah saw TIDAK AKAN DITERIMA!

Berdasarkan firman Allah swt:

"Barangsiapa yang memilih selain Islam sebagai amalan agamanya, maka tidak akan diterima dan adalah dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi."  

Sabda Nabi saw:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

"Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan dari amalan (perintah) kami, maka yang dilakukan itu akan ditolak."

Seperti yang telah dinyatakan, ibadah puasa bukanlah ibadah yang hanya diamalkan oleh umat Islam sahaja. Antara amalan puasa yang diamalkan oleh agama-agama lain adalah:
  • Berpuasa dengan tidak makan tetapi boleh minum
  • Berpuasa dengan tidak minum tetapi boleh makan
  • Berpuasa dengan hanya minum susu sahaja
  • Berpuasa dengan tidak makan makanan yang berdarah tetapi yang lain boleh
  • Berpuasa dengan tidak menggunting rambut dan mencukur misai janggut
  • Berpuasa dengan tidak bersetubuh dengan isteri
  • Berpuasa dengan tidak makan daging tetapi boleh makan sayuran sepanjang hidup
  • Berpuasa dengan tidak makan minum sama sekali sepanjang hari dan malam untuk beberapa ketika
  • Dan macam-macam lagi
Kesemua jenis puasa tersebut yang tidak bersesuaian dengan garis pandu Islam, tidak akan diterima di sisi Allah swt. Hanya puasa yang bersesuaian dengan garis pandu Islam yang akan diterima. Kerana adanya amalan-amalan puasa yang begitu banyak diamalkan oleh agama-agama lain, maka Islam sekali lagi telah mendatangkan definisi ibadahnya tersendiri:

"Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari."

Yang dimaksudkan dengan membatalkan dan boleh merosakkan ibadah puasa seseorang dalam Islam adalah: makan, minum, bersetubuh, mengeluarkan air mani dengan sengaja, bercumbuan, memandang yang haram, mendengar yang haram, mengatakan yang haram, membuat perbuatan haram, melangkah ke tempat yang haram, kesemua yang tegah tersebut hendaklah ditahan pada siang hari sahaja dan dilakukan sepanjang satu bulan sahaja melainkan puasa sunnat.

Dalam suatu riwayat, Nabi saw bersabda:

من لم يدع قول الزور والعمل به فليس الله حاجة في  أن يدع طعامه وشرابه

"Barangsiapa yang berpuasa tetapi mulutnya tidak meninggalkan perkataan buruk dan sebaliknya melakukan perbuatan yang buruk, maka Allah swt tidak memerlukan lapar dan dahaganya."

[Riwayat al-Bukhariy]

Dengan ini adalah jelas ibadah puasa dalam Islam bukanlah setakat menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi keseluruhan elemen hawa nafsu hendaklah dipuasakan. Mata tidak memandang yang haram, telinga tidak mendengar yang haram, mulut tidak mengeluarkan kata-kata yang haram seperti maki-hamun, tangan tidak melakukan yang haram seperti mencuri, kaki pula tidak melangkah ke tempat-tempat yang haram. Kalau tidak, ianya tidak dinamakan puasa Islam, kerana hanya berpuasa mengikuat agama lain sahaja yang membolehkan  berpuasa dengan dilarang melakukan sebahagian perkara tetapi dibolehkan melakukan sebahagian perkara yang lain.

Apa sekalipun, hanya apa yang dibolehkan dan tidak dibolehkan oleh Islam sahaja yang mesti diamalkan dalam berpuasa mengikut ajaran Islam. Contohnya, Islam membolehkan makan minum pada waktu selepas tenggelam matahari dan bersetubuh dengan isteri pada malam harinya. Ini semua adalah perkara yang dibolehkan agama Islam semasa mengamalkan puasa Ramadhan. Setiap mukmin hendaklah merujuk dan mempelajari  ajaran agama ini bagi mengetahui do's and don't's perkara-perkara yang merupakan ketetapan agama Islam dan yang mana pula merupakan bukan dari ketetapan Islam.

Ingatlah, hanya amalan puasa yang bersesuaian dengan ajaran Islam sahaja yang akan diterima. Adapun yang lain pasti akan ditolak dan tidak akan diterima. Dengan itu akhirnya jangan sampai setakat "melepaskan batuk di tangga", yang disangka berpuasa tetapi sebenarnya merupakan praktik yang hanya mendapatkan lapar dan dahaga sahaja, tiada pahala dan ganjaran di sisi Allah swt.

Akhir sekali jangan lupa, sambutlah kedatangan Ramadhan ini dengan hati penuh keimanan, percaya akan segala keistimewaannya dan mengharapkan kebaikannya. Hanya Ramadhan sahaja yang menjanjikan keampunan, pahala berlipat ganda dan segala doa dimakbulkan.


Ustaz Abdul Rahman As-Shobuuniy
Pengarah
Fiqh Consultancy & Services



[Admin: Artikel ini ditulis oleh Ustaz Abdul Rahman pada 2hb Ogos 2010, dengan sedikit ubah-suai (editing). Admin memohon maaf atas keterlewatan dalam penerbitan artikel ini.]

Wednesday, July 28, 2010

Pengganas Yang Tidak Diambil Kira

Tatkala dunia memberi tumpuan penuh kepada usaha menghapuskan unsur-unsur pengganas hingga ke akar-akarnya, kita pula semacam terlepas pandang akan satu elemen pengganas yang sedang bermaharajalela termasuk di dalam negara kita Singapura.

Merujuk kepada definisi pengganas:

"...individu atau kumpulan yang berusaha menimbulkan kerosakan tidak kira terhadap jiwa masyarakat awam dan juga tempat-tempatnya.."  

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا وَلَقَدْ جَاءتْهُمْ رُسُلُنَا بِالبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيراً مِّنْهُم بَعْدَ ذَلِكَ فِي الأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

"Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya; dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi." (Surah al-Ma'idah: ayat 32)

Sabda Nabi kita shallAllahu 'alaihi wa sallam:

"Tidak kepada bahaya dan tidak pula kepada apa sahaja yang membahayakan." 

Baru-baru ini setelah 'digemparkan' berita munculnya anasir-anasir Radikal Menyendiri dan diikuti pula dengan penangkapan tiga saudara Islam kita (Admin: seorang remaja yang ditahan dan dua orang lagi dikenakan Perintah Sekatan (Restraining Order).), setelah dikaji, mereka yang Radikal Menyendiri didapati terpengaruh daripada dua sumber iaitu lelaman yang menjadi sarang pengganas di Internet dan mangsa 'ustaz-ustaz' yang tidak bertauliah.

Sebaliknya saya agak terkilan apabila dunia dan masyarakat tidak begitu merasa tergempar dengan tersiarnya berita tentang seorang belia yang mati dibunuh secara kejam dan telah menjadi mangsa Pengganas yang Tidak Diambil Kira iaitu kumpulan samseng.

Dari perspektif Islam, para samseng ini tiada bezanya dengan mereka yang telah pada masa kini dicap sebagai pengganas antarabangsa kerana matlamat dan modus operandi mereka sama sahaja, iaitu menimbulkan kerosakan kepada jiwa manusia atau sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai musuh tidak kira di mana sahaja. Kerap kali, rusuhan-rusuhan yang dibuat oleh kumpulan samseng ini berlaku di tempat-tempat awam dan sering juga berlaku yang menjadi mangsa kumpulan samseng ini adalah mereka yang tidak berdosa.

Kemunculan kumpulan-kumpulan samseng yang begitu banyak dan penularan ideologi 'kesamsengan' terhadap anak-anak muda kita telah wujud sekian lama, lebih lama daripada kemunculan para pengganas antarabangsa. Jika dikira mengikut jumlah, jumlah yang terlibat dengan pengganas samseng lebih banyak jumlahnya berbanding mereka yang terlibat dengan pengganas antarabangsa.

Ini semua berlaku di hadapan mata kita tetapi sayangnya tidak banyak yang memberi perhatian kepada elemen penggasanan sebegini. Saya lihat yang diberikan tugas untuk menangani kumpulan dan ideologi samseng hanyalah para anggota polis sahaja. Sangat berlainan sekali dengan pengganasan antarabangsa, boleh dikatakan hampir seluruh komponen negara diseru dan diajak untuk sama-sama berganding bahu bagi membasmi unsur-unsur pengganasan termasuk institusi-institusi agama, masjid dan asatizah.

Saranan saya, jangan sampai kita kurang memberi perhatian terhadap ideologi pengganas samseng yang sebenarnya tiada banyak bezanya dengan pengganas yang menyasarkan masyarakat dan tempat awam sebagai mangsa. Sudah sampai masanya, seluruh masyarakat diajak sama untuk berkempen besar-besaran menentang penularan dan perkembangan ideologi pengganas samseng. Sebelum nanti, semakin ramai di kalangan anak-anak kita sendiri yang terpengaruh dengan ideologi pengganas samseng.

Jika sekolah-sekolah juga diminta agar turut menyertai dalam usaha mengekang ideologi radikal dan pengganas antarabangsa, pihak sekolah juga mesti disedarkan akan bahaya perkembangan ideologi samseng yang kebanyakannya bermula dari alam persekolahan. Banyak kumpulan samseng yang menyasarkan para pelajar yang diajak untuk menyertai kumpulan mereka.

Tatkala mereka yang terpengaruh oleh idologi pengganas antarabangsa adalah melalui Internet dan 'ustaz' tidak bertauliah, ideologi pengganas samseng pula menyebarkan ideologi pengganasan mereka secara langsung (direct) dengan 'ustaz-ustaz' mereka terdiri daripada ketua-ketua samseng atau kaki-kakinya yang bermaharajalela. Mengapa isu 'ustaz' tidak bertauliah yang menyebarkan ideologi membahayakan diberikan perhatian penuh sedangkan 'ustaz-ustaz' (ketua-ketua) samseng dibiarkan dan tidak dipandang bahaya?

Begitupun juga apabila setiap ibu bapa diseru agar berwaspada terhadap anak-anak mereka jangan sampai mereka menjadi mangsa pengganas antarabangsa dan menjadi radikal menyendiri, ibu bapa juga mesti diajak secara serius membasmi penularan ideologi pengganas samseng dengan bersikap tegas terhadap anak-anak mereka yang menampakkan tanda-tanda pengganas samseng. Ibu bapa juga perlu diberi bantuan bagaimana mahu menangani sikap ganas anak-anak mereka yang telah menjadi anggota pengganas samseng.

Semenjak sedekad yang lalu, ramai anak-anak belia Melayu/Islam lelaki dan perempuan telah terpengaruh dengan ajakan untuk menyertai kumpulan-kumpulan samseng. Kerosakan terhadap nilai-nilai penghidupan manusia angkara ideologi samseng begitu ketara dan tidak perlu banyak penelitian; bertatu hampir seluruh tubuh, berpakaian dan berperhiasan yang luar nilai-nilai norma, belum lagi yang terlibat dengan jenayah, penjualan VCD haram, kegiatan tailong hinggalah kepada merusuh, bergaduh sampai kepada bunuh-membunuh.

Kumpulan akar-umbi, institusi Islam, masjid dan asatizah perlu diseru dan diajak untuk menyebarkan mesej tentang bahayanya ideologi pengganas samseng, bahkan saluran khutbah-khutbah juga wajar digunakan dalam usaha membasmi dan menentang penularan ideologi pengganas samseng. Sepertimana kita bersuara lantang mengutuk ideologi pengganas, kita juga mesti sebulat suara mengutuk dengan keras mereka yang menjadi dalang kepada perkembangan ideologi samseng.

Sekiranya semua institusi dan para pemimpin Melayu Islam sangat-sangat khuatir jangan sampai suatu masa berlaku sekelompok anak Melayu Islam yang menjadi anggota pengganas meletupkan suatu tempat awam hingga ramai mangsanya adalah orang-orang bukan Islam, yang mana keadaan sedemikian akan mengundang tindak balas orang-orang bukan Islam terhadap masyarakat Islam sepertimana yang berlaku di negara-negara Eropah, kenapa tidak pula kita juga perlu merasa khuatir jika suatu hari nanti para pengganas samseng Melayu Islam merusuh hingga ramai yang menjadi mangsanya adalah orang-orang bukan Islam, sudah tentu implikasi seperti rusuhan kaum juga berkemungkinan besar boleh berlaku semula jika perkembangan ideologi pengganas samseng tidak dibendung. Jangan lupa, mereka yang menjadi anggota pengganas samseng adalah manusia anti-keharmonian, mereka tidak mempunyai fikiran jangka panjang dalam kamus kehidupan mereka; yang ada hanya fikiran jangka pendek seperti bagaimana memusnahkan orang lain lalu bermegah dengan tindakan tersebut dan bagaimana mendapatkan kesenangan dengan cara mudah (jenayah), meskipun merugikan orang lain.

Kenyataan ini tidak bertujuan sama sekali ingin mencari jalan untuk menuding jari kepada sasaran lain agar isu menentang pengganasan antarabangsa tidak diberi perhatian. Akan tetapi, kita mengharapkan agar segenap lapisan masyarakat dan para pemimpinnya dapat menilai faktor pengganasan ini dengan penilaian yang lebih luas, bukan penilaian yang sempit.

Kita semua, khususnya yang hidup di bumi Singapura ini, telah sekian lama bekerja keras untuk menghidupkan budaya harmoni dan aman antara kesemua bangsa dan agama. Berikan dunia ini hak keamanannya agar kita semua boleh hidup tenang hingga tiap kali anak anggota keluarga kita keluar rumah, kita tidak perlu merasa khuatir mereka akan menjadi mangsa apa jua bentuk pengganasan.



Ustaz Abdul Rahman As-Shobuuniy 
Pengarah
Fiqh Consultancy & Services


[Admin: Artikel ini ditulis pada 26hb Julai 2010. Sedikit ubah-suai (editing) telah dilakukan tanpa merubah maksud asal.]

Monday, July 26, 2010

Mengimport Budaya Liberal

Kita dapat saksikan sekarang ada perkembangan da'wah Islam yang sangat membimbangkan, iaitu tren pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Kalaulah percampuran lelaki perempuan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang tidak menggunakan nama Islam, saya tidaklah khuatir sangat, tetapi apabila tren percampuran lelaki perempuan dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan nama Islam, ini jelas akan merusakkan nama baik Islam dan akan menjejas da'wah Islmiah dimasa hadapan.

Kemaren muncul dikaca TV dan diikuti dengan hebahan diakhbar tentang beberapa orang 'Ustaz' (entah ada tauliah ke tidak) menganjurkan persembahan Theater yang dianggotai oleh ramai belia wanita dan lelaki.

Dulunya persembahan theater dianjurkan oleh individu-individu atau group yang berteraskan seni yang jelas tidak berunsur keislaman, ketika itu tiada siapa yang mempersoalakan kerana group2 tersebut tidak menggunakan nama Islam, tetapi sekarang dikalangan ahli agama pula yang cuba meneroka dunia persembahan theater dengan mengajak lelaki perempuan membuat persembahan seolah-olah memang dalam Islam percampuran lelaki perempuan sedemikian dibolehkan.Lebih buruk lagi jika nama kesucian institusi masjid dan MUIS turut dikaitkan.

Ini jelas merupakan fikrah liberal dan meniru cara Barat yang diimport kedalam Islam dan saya sangat khuatir kalau tidak dibendung akan membawa kepada keruntuhan da'wah Islamiah.

Perkara pergaulan lelaki perempuan yang bukan mahram adalah HARAM (tiada khilaf dalam hal ini) terkecuali dalam keadaan dhorurat seperti percampuran di tempat khalayak ramai.

Apakah ada dikalangan asatizah dan mana-mana ulama kita yang berpendapat perbuatan lelaki perempuan terkinja-kinja di atas pentas seperti itu dibenarkan oleh agama ini.

Kalau apa yang dibuat oleh ustaz2 ini akhirnya diterima secara meluas oleh masyarakat, maka kita sudah tidak lagi boleh mengatakan apa yang dibuat oleh para pelakon lelaki dan perempuan seperti sekarang ini adalah salah, kerana kalau ustaz boleh buat, mengapa yang lain tidak boleh buat.

Benarlah apabila Nabi saw bersabda:
"Alislaamu mahjuubun bilmuslimiin"
"Islam akan tertutup oleh perbuatan orang Islam itu sendiri"

Saya harap sesiapa yang kenal dengan 'ustaz-ustaz' seni tersebut, diharap dapat menasihati mereka, masih banyak lagi jalan da'wah yang berdasarkan sunnah Nabi saw tidak habis dilaksanakan.

Renungkan Firman2 Allah ini dalam2:

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya"

Jangan separuh ambil dari Islam dan separuh lagi ambil dari yang bertentangan dengan Islam.

"Barangsiapa yang mencari selain ISlam sebagai agama (jalan hidupnya) makan tidak akan diterima sama sekali, maka diakhirat mereka akan termasuk dikalangan orang2 yang rugi"

Hentikan perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan Islam tidak kira samaada perbuatan melampau, mengganas, ajaran sesat dan budaya liberal.

Saya fikir memang ada kebenarannya bilamana dikatakan dahulu bahawa di Singapura ini memang semacam ada segolongan yang berfikiran LIBERAL yang cuba menguasai (hijack) da'wah Islamiah.

Firman Allah:
"Mereka mahu cuba memadamkan nuur Allah dengan mulut-mulut mereka tetapi Allah swt mahu menyempurnakan nurNya itu walau dibenci oleh orang-orang kafir".

Allahu Musta'an 



Ustaz Abdul Rahman As-Shobuuniy
Pengarah
Fiqh Consultancy & Services


[Admin: Artikel ini ditulis oleh Ustaz Abdul Rahman pada 24hb Julai 2010. Tiada ubah-suai telah dilakukan.]

Tuesday, July 13, 2010

Pembohongan dari Zamihan

Zamihan: Benar ustaz Singapura ‘kecam’ saya, tapi tak saman

June 25, 2010

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin mengakui kertas kerjanya mengenai fahaman wahabi dan ekstremisme di Singapura awal tahun ini mencetuskan rasa tidak senang pada diri seorang ustaz republik itu, yang bukunya telah diharamkan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun Zamihan, pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia itu berkata, beliau tidak disaman oleh ustaz berkenaan yang juga Pengarah Fiqh Consultancy & Services, Abdul Rahman Mohamed sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

“Tak ada, tak ada... ceritanya begini. Saya dijemput oleh Persatuan Pembangunan Insan dan Akhlak dari Singapura untuk membentangkan kertas kerja mengenai ancaman pemikiran ektremis di rantau nusantara.

“Saya membentang dan mengatakan bahawa penyumbang kepada kegiatan ektremis di rantau Singapura dan rantau Asia Tenggara ini ialah (amalan) wahabi, Al-Qaeda wahabi, JI wahabi, KMM wahabi... orang lain tak betul, orang lain tak Islamik, orang lain tak sunah, dia sahaja yang sunah, mereka hendak menekankan ikut acuan mereka sendiri,” kata Zamihan pada satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di Bandar Baru Bangi semalam.

Zamihan menjelaskan, beliau menerima beberapa mesej dari emel berkumpulan yang mempertikaikan pembentangannya di Singapura dengan pelbagai kritikan.

Kata beliau, antara yang mengkritiknya ialah Abdul Rahman sendiri, yang merupakan penulis buku berjudul “Pelik Tapi Benar” yang telah diharamkan oleh Malaysia.

“Bila saya saya berada di Singapura saya mempampangkan buku itu... (saya memberitahu bahawa) ini buku yang mencetuskan elemen ekstremis dalam ibadat. Sebab itu ia diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

“Bila saya tunjukkan buku ini, saya dituduh, dia (Abdul Rahman) marah saya, menuduh saya mengkafirkan orang dan saya ektremis, saya mengganggu gugat keselamatan Singapura.

“Dia hantar emel saya tak balas dan selepas lima enam emel, saya balas dengan saya menjawab saya membentangkan soal-soal yang berkaitan dengan ekstremis.

“(Saya kata) buku kamu diharamkan kerana mengandungi elemen ekstremis. Kamu tak setuju bahagian mana, maklum dan kita boleh bincang bila-bila masa, di Malaysia atau di Singapura,” kata beliau dengan menambah Abdul Rahman tidak menjawab emel berkenaan.

“Saya emel tetapi tak jawab. Dia tak balas, itu sahaja.

“Kemudian dia kata dia tak berpuas hati dan mahu saman penganjur yang menjemput saya menyampaikan ceramah.

“Penganjur itu pun dia dakwa saya ceramah dengan mengkafirkan dia, mengkafirkan pihak wahabi dan mengancam keselamatan Singapura,” kata Zamihan dengan mendakwa, beliau hanya bercakap dalam konteks kenegaraan.

Zamihan berkata, Abdul Rahman tidak boleh menyamannya dan jika mahu beliau boleh mengemukakan saman terhadap kerajaan Malaysia.

“Saya cakap atas proses undang-undnag. Kalau buku anda diharamkan bermakna buku anda ada masalah.
“Kalau dia hendak saman, saman kerajaan atau penganjur, dan kalau mahu saman saya, hanya sebagai defendan yang ketiga,” katanya lagi.

Berita Harian Singapura edisi 11 Jun lalu melaporkan bahawa Abdul Rahman telah mengemukakan saman fitnah jenayah ke atas 10 individu yang memimpin Persatuan Pembangunan Insan dan Akhlak.

Abdul Rahman, 52, dipetik berkata beliau memfailkan saman itu pada 14 April lalu.

Beliau mengemukakan saman itu antaranya ke atas Presiden persatuan itu Tengku Mohamad Fouzy Mahit Jumat; Naib presidennya Aspar Anwar; Setiausaha Noormah Abdul Wahab dan Bendahari Mustafa Ismail.
Pertikaian Abdul Rahman dengan kepimpinan persatuan itu berpunca daripada kenyataan yang menurut beliau berunsur fitnah oleh Zamihan semasa badan itu mengadakan seminar bertemakan Mengukuh Pegangan Jalan Yang Selamat di Masjid Sultan 6 dan 7 Feb lalu.

Abdul Rahman mendakwa Zamihan telah mencemar nama baiknya dengan menyatakan beliau “mencetuskan pemikiran ekstrem” menerusi bukunya, Pelik Tapi Benar yang diterbitkan Julai 2005.

“Memandangkan fitnah terhadap saya ini telah dibuat menggunakan suatu platform yang mengaitkan tidak secara langsung nama beberapa institusi berwibawa, maka ia mempunyai kesan serius terhadap nama baik saya.

“Saya rasa sangat perlu mengambil tindakan sedemikian, setelah segala saluran penyelesaian yang lain tidak membuahkan hasil.

“Tujuan saya agar masalah ini dapat dijadikan pelajaran pada masa akan datang, bahawa (adalah penting) menjaga hubungan baik dengan saling menghormati dan tidak mengambil pendekatan mencemuh dan mengeji kefahaman orang lain (apatah lagi) antara sesama Muslim,” katanya.



Berikut komentar Ustaz Abdul Rahman Mohamed As-Shobuuniy yang beliau sendiri tulis di laman tersebut:

"Assalamualaikum wr wb,
Izinkan saya memperkenalkan diri, saya adalah Ustaz Abdul Rahman Bin Mohamed As-Shobuuniy, penulis kitab "Pelik Tapi Benar" dan beberapa buku yang lain yang telah lama diedarkan Di Malaysia, Singapura, Indonesia dan lain-lain negara. Kebetulan saya ternampak halaman ini yang bertarikh 13 July dan terbaca kenyataan-kenyaatan yang dibuat oleh Encik Zamihan. Demi Allah yang maha melihat lagi maha mendengar, sebelum Encik Zamihan menyampaikan ceramahnya di Singapura dan juga sesudahnya hingga ke hari ini, saya tidak pernah mengenali Encik Zamihan dan tidak pernah berhubung dengannya sama ada melalui talipon dan tidak juga melalui email. Saya merasakan tidak ada keperluan untuk berhubung dengannya memandang tindakkan undang-undang telahpun dibuat. Oleh itu dakwaan Encik Zamihan konon saya ada berhubung email dengannya atau dia pernah mengantar email pada saya adalah suatu KEBOHONGAN yang nyata dan dusta belaka."

"Kalau betul dia ada berhubung email dengan saya, sila minta dia tunjukkan email-email tersebut. Encik Zamihan bukan sahaja berdusta semasa dia menyampai mengenai buku saya perkara-perkara yang tidak saya sebut dalam buku saya bahkan dia juga berdusta dengan mengatakan saya ada berhubung email dengannya. Sebagai makluman semua, pihak pemerintah Singapura telah mengharamkan Encik Zamihan dari memasuki Singapura untuk tujuan berceramah."


[Admin: Saya diminta oleh Ustaz Abdul Rahman Mohamed As-Shobuuniy sendiri untuk post artikel ini.]

Sunday, July 11, 2010

Mencari Huraian Radikal Tersendiri

Sementara ramai sekarang ini yang sedang memberi ulasan berkenaan kebimbangan timbul budaya "Radikal Tersendiri" (Self-Radicalization) yang tidak mustahil akan terus meningkat di masa-masa akan mendatang di kalangan masyarakat khasnya di kalangan belia Islam yang semakin terdedah dengan teknologi maklumat tanpa sempadan iaitu Internet, penganalisaan para pakar kita, hampir semuanya telah mengenal-pasti bahawa radikalisme di kalangan masyarakat Islam adalah berpunca daripada isu-isu luaran berkaitan dengan ummat Islam sejagat yang dilihat menjadi sasaran ketidak-adilan pihak Barat, isu penindasan dan kezaliman melampau yang telah diperlakukan ke atas ummat Islam dengan tunggak utamanya adalah isu ummat Islam Palestin dengan Israel, peperangan Iraq dan Afghanistan, dan isu berat sebelah dan kebencian ketara masyarakat Barat terhadap ummat Islam di benua Eropah.

Suka atau tidak, isu-isu di atas adalah masalah yang meskipun dicetuskan oleh orang lain, namun ia telah menjadi masalah kita yang terpaksa kita pikul dan terus pikul sampai bila-bila. Mengambil sikap berdiam diri dari masalah tersebut atau cuba 'elak' dari memperkatakan isu tersebut, begitupun juga membendung isu-isu itu daripada diperkatakan secara terbuka, bukanlah pendekatan yang terbaik bagi mengatasi masalah-masalah ini.

Begitupun juga mencari huraian masalah ini setakat bertumpu kepada sumber maklumat yang salah (Internet), seruan agar merujuk kepada asatizah yang bertauliah, bukanlah huraian sebenar bagi mengatasi perkembangan budaya "Radikal Tersendiri", kerana anasir-anasir ini sebenarnya tidak berminat dengan asatizah kerana bagi mereka, mereka tidak akan mendapatkan huraian yang mereka mahu dari para asatizah yang bertauliah. Berkemungkinan besar adalah kerana ramai di kalangan asatizah yang bertauliah dilihat tidak ada huraian yang dikehendaki berkaitan dengan keadaan ummat Islam yang dikatakan menjadi mangsa kezaliman. Oleh itu, satu-satunya jalan bagi anasir ini adalah membuka pintu maklumat yang tiada sempadan iaitu Internet bagi mendapatkan 'huraian' yang dikehendaki. Kebetulan pula, di ruang maya Internet tersedia ada berbagai jaringan (website) yang difikirkan telah menyediakan 'huraian' bagi masalah yang dikehendaki oleh anasir ini.

Sudah pasti kita tidak dapat mengawal keadaan sebahagian anasir-anasir Barat yang sengaja mencetuskan kemarahan ummat Islam, kerana budaya pemikiran dan politik yang berbeza. Kita juga tidak akan mampu menghentikan tindakan Israel ke atas ummat Islam Palestin. Kita juga tidak ada jalan untuk menghalang secara total masyarakat, khususnya para belia kita, daripada melungsuri jaringan-jaringan yang memberi maklumat yang salah. Itu semua adalah luar dari kemampuan kawalan kita. Sikap radikal boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja, baik kepada yang tua atau kepada yang muda, tiada gunanya hanya menyasarkan tumpuan kepada golongan tertentu sahaja.

Dalam penganalisaan saya pula, yang menjadi sebab kepada perkembangan budaya "Radikal Tersendiri" adalah bersebabkan timbulnya sikap TIDAK PUAS HATI masyarakat Islam yang berpunca daripada isu-isu tersebut. Oleh itu, solusi yang terbaik dan saya yakin pasti akan berjaya mengekang budaya "Radikal Tersendiri" dari terus berkembang hingga tidak dapat terkawal adalah, mencari jalan untuk mengawal TIDAK PUAS HATI masyarakat Islam setiap kali timbul isu-isu luaran berkaitan ummat Islam sejagat yang boleh menimbulkan kemarahan dan selanjutnya perasaan TIDAK PUAS HATI.

 Antara yang disarankan bagi mengawal sikap TIDAK PUAS HATI tersebut adalah dengan membincangkannya secara terbuka dan mencari huraian bagaimana isu-isu sedemikian dapat ditangani bersama. Saya yakin, apabila isu-isu global yang dipaparkan oleh media massa yang menampakkan bahawa ummat Islam telah menjadi mangsa ketidak-adilan dan kezaliman contohnya isu Palestin, dapat dibincangkan secara terbuka atau ditanggapi oleh badan-badan Islam seperti MUIS, PERGAS atau para asatizah di masjid-masjid dengan baik dan disertakan pemberi huraian dan jalan keluar, sudah tentu dapat meredakan kemarahan ummat Islam setempat, khususnya di kalangan belia Muslim yang lebih dilihat tidak pandai mengawal perasaan marah. Akhirnya akibat dari kemarahan yang terpendam, maka ada yang bertindak mahu melakukan sesuatu kerana merasakan apa yang diperlakukan ke atas ummat Islam tidak terbela atau tidak mendapat perhatian.

Mengambil sikap berdiam diri atau takut membincangkannya kerana menganggap membincangkan isu-isu sedemikian secara terbuka adalah sesuatu yang sensitif sebenarnya merupakan penyebab kemarahan dapat berubah menjadi TIDAK PUAS HATI, justeru itu ada yang merasakan perlu mengambil tindakan lanjut menangani isu-isu tersebut dengan cara yang radikal. Sebaliknya, membincangkannya dengan cara yang sihat tanpa mengapi-apikan isu-isu sedemikian akan dapat meredakan perasaan TIDAK PUAS HATI, kerana masyarakat Islam khususnya mereka yang berpotensi kepada sikap radikal, pelampau dan pengganas akan merasakan bahawa apa yang terbuku di hati mereka itu tidak didiamkan begitu sahaja, tetapi telah ditanggapi oleh yang berwewenang dan mereka pula tidak perlu bertindak sendiri.

Sebagai contoh, semasa timbulnya isu lukisan karikatur Nabi Muhammad s.a.w. oleh anasir-anasir dari Denmark, ramai ummat Islam termasuk saya merasa amat marah sekali dengan penghinaan tersebut, tetapi semasa berada dalam sebuah majlis pertemuan saya dengan Menteri Luar Singapura Encik George Yeo, saya sempat bangkitkan isu tersebut kepadanya. Jawapan yang saya terima daripadanya sungguh menyejukkan hati saya dan para hadirin yang lain, yang mana beliau mengatakan sebenarnya pemerintah Singapura juga tidak bersetuju dengan perbuatan 'nakal' dan tidak wajar sedemikian dan sedang berusaha mengemukakan 'bantahan' berkaitan isu tersebut.

Oleh itu, penanggapan dan perbincangan secara terbuka yang disertakan dengan jalan keluar terhadap isu-isu yang melibatkan ummat Islam yang dirasakan telah menimbulkan kemarahan dapat meredakan dan mengawal perasaan TIDAK PUAS HATI yang saya lihat merupakan punca sebenar timbulnya budaya sikap "Radikal Tersendiri".

Abdul Rahman Mohamed As-Shobuuniy
9hb Julai 2010 bersamaan 26 Rajab 1431H


[Nota: Gelaran "As-Shobuuniy" adalah gelaran bagi Ustaz Abdul Rahman Mohamed. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan kelak kerana di Singapura kini kita telah mempunyai beberapa ustaz yang mempunyai nama Abdul Rahman Mohamed.]

Tuesday, July 6, 2010

Pengantar dari Suratman Markasan

Assalamualaikum wr. wb.,

Setiap manusia yang dicipta oleh Allah SWT akan menjalani kehidupan di dunia ini sebagai makhluk yang akan diuji. Begitulah firman Allah di dalam surah Al-An'am, ayat 165, yang maksudnya kira-kira: "Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di atas bumi, dan meninggikan sebahagian kamu beberapa darjat di atas yang lain, untuk menguji kamu tentagn pemberian-pemberian-Nya kepadamu. Sungguh, Tuhanmu amat cepat daam menghukum. Tapi sungguh, Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Demikianlah yang bisa kami ambil daripada buku memoar kecil mengenai Ustaz Abdul Rahman Mohamed, tetapi bermakna sekali isi yang dipaparkan di dalamnya. Kami baru mengenali beliau kira-kira lima tahun yang lalu, setelah beliau menjabat jawatan sebagai Pengarah di Masjid Darussalam, pada tahun 1998, ketika kami masih menjadi Pengerusi masjid tersebut. Ketika itu, kami hanya mengetahui peribadi dan ketokohannya dari yang bisa dilihat dari luaran sahaja, seperti juga yang bisa dilihat oleh orang lain terhadap dirinya. Akan tetapi setelah kami membaca memoar kecil ini, ketika diberikannya kepada kami untuk kami semak isinya, bertambah dekat kami mengenal dirinya.

Menerusi pengalaman lahir dan bathin yang dicatat oleh beliau; sejak belajar di sekolah rendah Kallang Integrated mengharungi hidup yang amat getir, berjaja kuih dengan pengalaman yang sangat pahit, bekerja sebelum dewasa dengan penuh cabaran, lalu dengan berbekalkan kegigihan, keberanian dan ketaatan terhadap ibunya, beliau memasuki dunia dewasanya ntuk mebaiki nasibnya dan nasib keluarganya, dengan menambah ilmu di luar negeri. Kemudian setelah berkeluarga; bekerja dan berusaha untuk menghidupkan keluarga, di samping itu tidak renti-renti pula beliau berdakwah di sana-sini dalam berbagai bentuk yang dapat dijalankan seperti bersyarah, memberi nasihat, menulisa dan yang seumpama dengannya.

Dan dalam menjalankan usaha semacam inilah; beliau digoda, dicabar, dicerca dan dihina dari berbagai golongan manusia. Hal-hal itu dicatat oleh beliau, di dalam buku kecil memoarnya. Sebagai manusia yang baru mengenalnya dalam masa kira-kira lima tahun yang lalu, dan mengenalinya pula melalui catatannya, kami sangat terkesan sekali akan perjalanan hidupnya, terutama dalam beberapa insidan atau peristiwa yang dialaminya. 

Pertama, ketika beliau belajar di Sekolah Rendah Gabungan Kallang, dengan keadaan keluarga yang sangat sempit, beliau menulis: "...semasa rehat, aku akan ke tandas untuk meneguk air paip sampai 'kenyang'..." Sungguh memberi kesan yang sangat mendalam sehingga dengan tidak kami sadari ketika kami membacanya, airmata kami meleleh. Kemudian dalam peristiwa yang sama, beliau menyambung: "...kadang-kadang aku ke kanten untuk mengecek teman-temanku makan. Pernah satu ketika aku dihalau oleh seorang makcik yang menjual mee rebus, kerana berdirinya aku di depan gerai, dianggap menghalang perniagaannya. Aku berlalu dengan hati yang sangat sedih.."

Begitulah airmata kami terus meleleh dengan tidak disadari. Akan tetapi dengan kehendak Allah, pada satu ketika makcik penjual mee rebus mengetahui anak yang bernama Abdul Rahman itu, seorang anak yatim yang sangat susah hidupnya. Demikianlah pada satu hari pada satu ketika, beliau berjalan di depan gerainya, lalu dipanggilnya dan diberi sepinggan mee rebus. Dan beliau menulis begini: "Itulah makanan yang saban hari aku tengok, tetapi tidak mampu untuk mendapatkannya..."

Ketika mula bersekolah di Menengah MacPherson pada tahun 1971, yang letaknya jauh daripada tempat tinggalnya di Old Airport Road, beliau menyatakan dalam memoarnya, bahawa beliau hanya mendapat 20 sen sehari; cukup untuk tambang bas pergi dn balik. Biasa dilakukannya, jika pergi naik bas, pulang akan berjalan kaki; atau sebaliknya. Dengan demikian, dapatlah dia makan sewaktu rehat. Dan biasa pula, ibunya tidak membekalkan sesen pun, kerana ibunya tidak mempunyai wang; dengan begitu pula, dia terpaksa pergi dan balik berjalan kaki. Dan ertinya, ketika rehat dia terpaksa 'meneguk air paip sampai kenyang' juga.

Peristiwa kedua yang mengesani kami secara mendalam, apabila beliau menyebut bahawa dia harus menolong 'ibu tunggalnya' yang harus menyara adik-beradiknya seramai 6 orang termasuk dirinya, dengan berjaja nasi lemak dan kuih-muih bersama-sama abangnya. Sebelum nasi lemak dan kuih-muih jajaannya habis, dia tidak akan berani pulang ke rumah, khuatir dimarahi ibu atau dia akan merasa sedih, apabila jajaannya tidak habis dan ibunya akan menangis. Sekali lagi air mata kami meleleh dengan tidak kami sadari. Dan dalam episod ini, yang sangat mengesani kami, apabila pada satu hari ketika National Stadium dalam pembinaannya, anak kecil berumur kira-kira 10 tahun yang menjaja di sekitar projek tersebut dijanjikan oleh seorang Bai Sarbat untuk membeli semua nasi lemak dan kuih-muihnya, tentulah anak kecil yang tidak tahu motif Bai Sarbat itu, merasa sangat gembira. 

Akan tetapi, rupanya Bai Sarbat tersebut mempunyai niat jahat hendak meliwatinya. Ketika peristiwa itu hampir terjadi, dengan kehendak Allah jua, datang seorang mandor India, lalu diajaknya anak penjual nasi lemak itu ke pejabatnya. Rupa-rupanya, nasib anak penjual nasi lemak ini ibarat peribahasa yang berbunyi, 'lari dari rahang harimau, masuk ke mulut buaya!'. Si Mandor India itu rupanya berniat sama seperti Bai Sarbat tetapi untunglah mash dilindungi Allah SWT sehingga budak kecil malang yang masih berumur 10 tahun itu mengetahui niat buruk itu, lalu segera berlari keluar dari tempat celaka itu.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa lain yang jika seseorang itu peka, akan merasa seperti apa yang kami rasai. Peristiwa dia dan abangnya ke pasar bukan untuk membeli sesuatu, tetapi untuk mencari barang-barang buangan di dalam keranjang yang boleh dibawa puang untuk dimasaknya. Atau peristiwa beliau diburu oleh guru-guru kerana tidak bayar duit yuran atau peristiwa lainnya.

Bagaimanapun, selain peristiwa-peristiwa yang banyak mengesani kami, ada satu hal yang ditulis oleh Ustaz Abdul Rahman Mohamed secara jujur mengenai pegangannya terhadap agama. Yang kami kira harus menjadi patukan orang-orang muda. Sehingga dia meningkat menjadi orang muda, ketika menjalani Perkhidmatan Negara, beliau termasuk orng muda yang tidak menunaikan tanggungjawab solatnya kepada Allah.

Akan tetapi akhirnya, setelah beliau diajak oleh abangnya belajar agama di Bedok dengan Ustaz Osman, sedikit demi sedikit beliau menjadi tertarik untuk meninggilkan lagi pelajaran tersebut, yang berakhir dengan beliau melanjutkan pelajaran agamanya di Jawa Tengah pada tahun 1981 dan tamat tahun 1984. Keinginannya untuk belajar tidak berhenti di situ sahaja, apabila beliau melanjutkan pelajaran agama di bidang Syariah di Universiti Islam Madina pada tahun 1990 dan tamat pada tahun 1993.

Gambaran hidup yang dialami oleh seorang anak yatim dari keluarga ibu tunggal yang sangat sempit kehidupannya yang tidak mempunyai asas agama dari kecil, tetapi bertukar menjadi seorang muda yang dahagakan ilmu agama, yang hanya dibekali dengan iltizam diri, bukan dengan dorongan keluarga dan kewangan yang mewah, inilah yang harus diambil menjadi teladan oleh orang muda. Dan dengan mengetahui hal ini semua, kami kira benar sebagaimana kami katakan pada awal sambutan buku ini; bahawa kehidupan kita sebagai khalifah di dunia ini adalah untuk diuji; bahawa beliau dari anak susah, menderita tanpa ilmu dinaikkan darjatnya oleh Allah menjadi seorang ustaz pembimbing keluarga dan pendakwah umat.

Begitu pula 'pemberian' Allah kepada manusia iaitu 'akal' telah digunakan anak susah dan belia tiada berpedoman ini, kepada manusia yang jujur dan sabar menghadapi segala macam pancaroba hidup ini dengan tenang dan sentiasa bersyukur kepada Allah akan segala yang datang kepadanya.

Akhir sekali, kami ingin tutup sambutan kami terhadap buku kecil tetapi sangat relevan dengan kehidupan; dengan mencatat nasihat Kiyai Ustaz Ridwan Abdullah, guru agama Ustaz Abdul Rahman, yang menyebut: "... Jangan takut menyampaikan kebenaran. Bilamana ramai yang datang untuk belajar denganmu dan mereka suka kepadamu, ketahuilah ketika itu kamu sebenarnya tidak menyampaikan kebenaran tetapi sebaliknya, menyampaikan apa yang disukai orang ramai. Sedangkan Allah SWT, telah menatakan: 'Kebanyakan manusia tidak suka kepada kebenaran' dan apabila sedikit yang datang kepadamu, janganlah kamu berputus asa kerana kebenaran disenangi sedikit orang..." 

Demikianlah sambutan kami. Marilah kita serahkan segala-galanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Kami berdoa kepada Allah semoga saudara kita Ustaz Abdul Rahman Mohamed dan keluarga sentiasa akan berjaya di dunia ini dan mendapat ganjaran di akhirat nanti, insya-Allah. Dan mudah-mudahan kita akan sentiasa dilindungi oleh-Nya, insya-Allah. Wallahu a'lam bissawab.

Wassalam



Suratman Markasan
10 Zulqaidah 1424H
3hb Januari 2004  

[Ditukil dari buku "Aku Bukan Wahabi" dengan sedikit ubah-suai (editing) tanpa merubah maksud asal.] 

Friday, June 25, 2010

Cara & Bahan Zikir

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, berzikir dalam Islam maksudnya adalah luas dan tidak hanya tertumpu kepada melafazkan beberapa kalimat sahaja. Telah berkata Imam Nawawi rahimahullah:

"Ketahuilah keutamaan zikir tidak terbatas hanya kepada Tasbih, Tahlil dan Tahmid, Takbir sahaja, sebaliknya apa sahaja yang dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah maka dinamakan sebagai orang yang berzikir. Begitulah kata-kata Said Bin Jubair r.a. dan Ulama-ulama yang lain." (Kitab Al-Adzkar Imam Nawawi Hal. 25)

[Ditukil dari buku "Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan", ms 22.]

Zikir Maktsur - yang dimaksudkan dengan zikir maktsur adalah segala zikir yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Zikir-zikir Nabi ini terlalu banyak dan tidak habis untuk diamalkan kesemuanya. Betapa ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan agar kita sentiasa mengutamakan apa jua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Termasuk juga mengutamakan zikir-zikir yang teah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Zikir Bid'ah - Zikir bid'ah adalah zikir-zikir selain apa yang didatangkan oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak ada jalan yang pasti sama ada ianya baik atau tidak. Zikir inilah yang paling banyak diamalkan pada masa kini khususnya oleh kumpulan-kumpulan zikir iaitu mereka-mereka yang meletakkan zikir sebagai amalan yang paling penting dalam Islam. Akibat itu timbullah berbagai zikir yang direka atau direka-suai daripada zikir yang maktsur dan akhirnya timbullah kelompok-kelompok yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Masing-masing dibezakan daripada amalan zikir yang dibawa. Ini jelas akan membawa kepada perpecahan dan berpuak-puak.

[Ditukil dari buku "Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan", ms 23-24.]

Termasuk juga antara perkara bid'ah yang direka-reka adalah cara-cara berzikir. Seperti mana yang telah didatangkan sebelum ini, cara-cara berzikir yang telah ditunjuk-ajarkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab-Nya adalah berzikir dengan cara bersolat, membaca Al-Quran, nama-nama Allah dan lafaz-lafaz zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Adapun cara melaksanakan zikir adalah mudah dan tidak pula merupakan suatu yang sulit dan susah. Seperti sabda Nabi s.a.w., "Agama itu mudah janganlah dipersulitkan." Maksudnya apa yang didatangkan oleh agama dengan cara yang mudah maka jangan pula dipersulitkan.

Berzikir dengan gaya memusingkan kepala kekiri kekanan, menggoyang-goyangkan badan, berdiri, berlonjak hingga tidak sedarkan diri atau menggunakan alat-alat gendang semasa berzikir juga merupakan antara bid'ah yang direka atau ditiru dari kepercayaan agama lain yang jelas bukan dari Islam.

Begitu juga mendatangkan irama-irama tertentu yang mengkhayalkan merupakan tiruan dari agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddhist yang kesemuanya menjadikan lagu, irama dan alat-alat muzik sebagai dasar ibadah mereka. Tidak ada kitab yang lebih baik mengenai bab Zikir daripada kitab susunan al-Imam An-Nawawi, seorang tokoh Ulama besar di kalangan madzhab Imam Asy-Syafii; sebaik-baik kitab tersebut yang sangat lengkap, tidak pula menyebutkan cara-cara zikir yang tersebut di atas seperti yang diamalkan oleh segolongan ummat Islam masa kini.

Jelas cara-cara seperti itu bukan dari ajaran Islam, bukan dari Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dan bukan pula dari Madzhab Syafii. Kalau ada, sudah tentu akan disebutkan oleh Ulama agung Imam An-Nawawi dalam kitabnya yang bernama Al-Adzkar (sudah lama diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu).

Oleh itu, adalah suatu dusta bila mana dikatakan bahawa cara-cara berzikir dengan gerak anggota yang tertentu merupakan ajaran Allah, RasulNya dan ajaran madzhab Syafii.

Berkata Imam an-Nawawi:

"Hendaklah bagi seorang yang mahu berzikir berada dalam sebaik-baik kelakuan; apabila dia berzikir dalam keadaan duduk, maka hendaklah menghadap Qiblat, duduk dengan merendah diri, khusyu', dengan tenang dan menundukkan kepala. Kalau dia berzikir tanpa adab-adab inipun boleh."
(Al-Adzkar ms 28)

Sangat jelas bagaimana Imam Nawawi mendatangkan adab-adab zikir sepertimana yang telah dinukilkan ini. Beliau menekankan betapa pentingnya berzikir dalam keadaan Tenang, bukan dengan terpekik-pekik dan menggelapah bagaikan ikan hendak putus nyawa.

[Ditukil dari buku "Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan", ms 25-27 dengan sedikit ubah-suai (editing) tanpa merubah makna asal.]


[Tambahan dari Admin: Terdapat buku-buku berkenaan zikir di pasaran yang bersesuaian dengan Sunnah Nabi s.a.w. Antaranya ialah buku Hisnul Muslim karya Syeikh Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahtani. Judul Melayunya: Doa dan Wirid, terbitan Pustaka at-Tibyan, Indonesia.

Begitu juga buka Doa dan Wirid: Mengobati Guna-Guna dan Sihir Menurut al-Qur-an dan as-Sunnah karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi'i, Indonesia. Buku ini juga boleh didapati dalam "pecahan" buku yang kecil, seperti Kumpulan Doa dari al-Qur-an dan as-Sunnah yang Shahih, dan Dzikir Pagi Petang dan Sesudah Shalat Fardhu.]

Sunday, June 20, 2010

Kata Sambutan dari Ustaz Hj. Abu Bakar Hashim

[Kata Sambutan ini ditulis untuk buku "Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan".]

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى أله و صحبه أجمعين

Segala pujian ditujukan pada Allah (swt) yang mencipta segala kejadin dan makhlukNya. Selawat dan Salam diucapkan terhadap RasulNya, Muhammad s.a.w. yng menjadi pembimbing ummt akhir zaman. Dengan tunjuk ajarnya supaya ummatnya berpegang kukuh pada dua sumber utama, Al-Quran dan Sunnah, insya-Allh umat Islam tidak akan tergelincir ke jalan yang dimurkai Allah.

Buku tulisan Al-Ustaz Abdul Rahman Mohamad berjudul "Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan" telah saya baca dan saya dapati ianya amat baik untuk dijadikan bahan bagi meningkatkan daya pemikiran masyarakat Islam tentang agama yang mereka anuti secara yang lebih bersifat objektif.

Dengan terbitnya buku ini, memudahkan masyarakat memahami cara terbaik untuk melakukan "zikir" dan menjauhkan diri mereka dari terlibat dengan amalan-amalan yang boleh membawa mereka dari tergelincir dari ajaran Islam yang sebenar.

Diharap dengan bermulanya usaha penulisan ini, akan lahir penulis-penulis baru dari golongan yang berkelulusan tinggi di bidang agama, yang dapat membantu umat Islam hari ini memahami pandangan dan mendapat tunjuk ajar yang berbentuk bimbingan dan pendidikan di samping mendekatkan lagi ke arah hidup yang boleh membawa kejayaan di dunia dan akhirat.

Saya ucapkan syabas kepada penulis buku ini dan mengharapkan usaha ini dijadikannya sebagai langkah permulaan dalam usaha dakwah Islamiah yang bersikap sederhana dan bersih dari segala pengaruh perusak yang tidak kita ingini.

Hormat dari saya,

Hj. Abu Bakar Hashim
Singapura 17.8.2002

Saturday, June 19, 2010

Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan

Muqaddimah

Alhamdulillah segala puja dan puji kepunyaan Allah swt dan Selawat beserta Salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan Ahli keluarganya, begitu juga kepada sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkahnya ke akhir zaman.

Berzikir merupakan suatu tuntutan agama Islam yang penting, kerana zikir menghubungkan antara manusia dengan Khaliqnya, ia juga merupakan gabungan antara Aqidah dan Ibadah. Oleh itu segala Ibadah mestilah mempunyai dasar yang kukuh, kalau tidak ia akan membawa kepada kesia-siaan atau kesesatan.

Dewasa ini, ada semacam kefahaman yang berkaitan dengan hakikat zikir. Segolongan yang keterlaluan sangat dengan amalan zikir hingga kebanyakan masa penghidupannya ditumpukan kepada berzikir, sementara segolongan yang lain pula, memandang remeh amalan berzikir hingga penghidupan mereka pula sepi daripada berzikir.

Zikir bukan suatu amalan khusus yang hanya ada pada agama Islam sahaja, boleh dikatakan setiap agama selain Islam juga ada zikir-zikirnya tersendiri. Islam adalah agama yang unik yang berbeza dari agama-agama lain. Zikir yang ada pada agama lain merupakan suatu amalan kerohanian yang dipisahkan sama sekali dengan penghidupan seharian, orang-orang yang mahu mengamalkan zikir harus memisahkan dirinya dengan segala tuntutan hidup dan menyendiri di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara sendiri-sendiri atau dilakukan dengan beramai-ramai. Sebab itulah tidak menjadi satu kemustahilan, apa yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Islam dengan menggunakan istilah zikir turut dipengaruhi oleh budaya zikir yang bukan dari ajaran Islam. Lebih-lebih lagi bilamana anjuran-anjuran masa lampau dan kini mengajak Ummat Islam sentiasa bercampur gaul dengan masyarakat yang bukan Islam, kemungkinan percampuran ideologi boleh berlaku bukanlah merupakan sesuatu yang disangsikan.

Zikir di dalam Islam pula merupakan suatu amalan yang berjalan serentak dengan tuntutan penghidupan seperti makan, minum, tidur, bangun, berjalan, sebelum sesudah buang air, bahkan tatkala mahu bersatu dengan isteri juga ada zikirnya. Di samping zikir juga ada pada amal ibadah seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Keadaan yang sedemikian itulah yang mendorong saya untuk membuat semacam pengkajian bagi mencari jalan penghuraiannya. Usaha pengkajian ini dilakukan dengan menggali dasar Zikir mengikut ajaran asalnya iaitu dari perspektif Al-Quran. Namun, dengan hanya berlandaskan Al-Quran sahaja tidak cukup untuk mencerminkan hakikat Zikir yang sebenar kerana Al-Quran walaupun mengandungi banyak ayat-ayat tentang zikir tetapi kebanyakannya disebut secara umum tidak terperinci, akhirnya berbagai macam tafsiran yang terjadi hingga mewujudkan berbagai macam kefahaman terhadap konsep zikir. Maka Pencontoh zikir yang paling tepat dan baik adalah Baginda Rasulullah saw yang digelar "Al-Quran Bergerak".

Namun, usaha ini dibuat dengan penuh kesedaran bahawa ianya bukanlah merupakan usaha yang pertama wujud dan yang paling baik, kerana sebelum ini, semenjak dahulu lagi telah muncul berbagai usaha dari para ulama kita yang terdahulu dalam mencari penghuraian masalah ini.

Usaha ini merupakan suatu usaha Pengkajian Ilmiah dari seorang manusia yang kerdil di sisi Tuhannya dan sudah tentu ada kelemahannya yang harus dimaklumi. Tidak ada niat sama sekali untuk menimbulkan persengketaan dan perbalahan khususnya di kalangan saudara-saudara saya Asatizah yang sebahagiannya berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza daripada apa yang saya datangkan di dalam buku saya ini. Jadikanlah buku ini sebagai salah satu perbendaharaan ilmu bagi tatapan masyarakat Islam, kerana segala format pembahasan ini tidak lari dari garis pandu ilmiah Islam yang terdiri daripada dalil-dalil Al-Quran, Hadits dan Qaul para Ulama khususnya dikalangan Madzhab Syafii. Jangan pula ianya dijadikan sebagai suatu ancaman kepada diri dan kefahaman kita. Biarlah para pembaca diberikan hak untuk menilainya sendiri.

Adapun yang akan saya bahaskan adalah dari sudut-sudut berikut:
  • Makna dan Maksudnya
  • Perbezaan Zikir dengan Jampi Mantera
  • Zikir Dalam Al-Quran
  • Ihsan dan Zikir
  • Hukumnya
  • Fadhilatnya
  • Zikir Rasulullah saw
  • Cara dan Bahan Zikir
  • Pelampau Zikir
  • Ilmu Ghaib
  • Ijazah dan Zikir
  • Zikir dan Hikmahnya
Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada yang membacanya. Tidak lupa saya ucapkan kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Hj. Abu Bakar Hashim yang telah memberikan kata-kata nasihat kepada saya dan juga telah sudi untuk memberikan kata-kata aluannya, kepada Allah sahaja saya tujukan doa semoga Allah merahmatinya dan membalas segala jasa baiknya dengan balasan yang setimpal. Tidak ada yang lebih diharapkan melainkan keredhaan Allah swt.


Oleh:
Abdul Rahman Mohamed
BA (Hons) Syariah, Medina 
1 Sep 2002 / 23 Jumadil Akhir 1423H