Wednesday, July 28, 2010

Pengganas Yang Tidak Diambil Kira

Tatkala dunia memberi tumpuan penuh kepada usaha menghapuskan unsur-unsur pengganas hingga ke akar-akarnya, kita pula semacam terlepas pandang akan satu elemen pengganas yang sedang bermaharajalela termasuk di dalam negara kita Singapura.

Merujuk kepada definisi pengganas:

"...individu atau kumpulan yang berusaha menimbulkan kerosakan tidak kira terhadap jiwa masyarakat awam dan juga tempat-tempatnya.."  

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا وَلَقَدْ جَاءتْهُمْ رُسُلُنَا بِالبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيراً مِّنْهُم بَعْدَ ذَلِكَ فِي الأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

"Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya; dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi." (Surah al-Ma'idah: ayat 32)

Sabda Nabi kita shallAllahu 'alaihi wa sallam:

"Tidak kepada bahaya dan tidak pula kepada apa sahaja yang membahayakan." 

Baru-baru ini setelah 'digemparkan' berita munculnya anasir-anasir Radikal Menyendiri dan diikuti pula dengan penangkapan tiga saudara Islam kita (Admin: seorang remaja yang ditahan dan dua orang lagi dikenakan Perintah Sekatan (Restraining Order).), setelah dikaji, mereka yang Radikal Menyendiri didapati terpengaruh daripada dua sumber iaitu lelaman yang menjadi sarang pengganas di Internet dan mangsa 'ustaz-ustaz' yang tidak bertauliah.

Sebaliknya saya agak terkilan apabila dunia dan masyarakat tidak begitu merasa tergempar dengan tersiarnya berita tentang seorang belia yang mati dibunuh secara kejam dan telah menjadi mangsa Pengganas yang Tidak Diambil Kira iaitu kumpulan samseng.

Dari perspektif Islam, para samseng ini tiada bezanya dengan mereka yang telah pada masa kini dicap sebagai pengganas antarabangsa kerana matlamat dan modus operandi mereka sama sahaja, iaitu menimbulkan kerosakan kepada jiwa manusia atau sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai musuh tidak kira di mana sahaja. Kerap kali, rusuhan-rusuhan yang dibuat oleh kumpulan samseng ini berlaku di tempat-tempat awam dan sering juga berlaku yang menjadi mangsa kumpulan samseng ini adalah mereka yang tidak berdosa.

Kemunculan kumpulan-kumpulan samseng yang begitu banyak dan penularan ideologi 'kesamsengan' terhadap anak-anak muda kita telah wujud sekian lama, lebih lama daripada kemunculan para pengganas antarabangsa. Jika dikira mengikut jumlah, jumlah yang terlibat dengan pengganas samseng lebih banyak jumlahnya berbanding mereka yang terlibat dengan pengganas antarabangsa.

Ini semua berlaku di hadapan mata kita tetapi sayangnya tidak banyak yang memberi perhatian kepada elemen penggasanan sebegini. Saya lihat yang diberikan tugas untuk menangani kumpulan dan ideologi samseng hanyalah para anggota polis sahaja. Sangat berlainan sekali dengan pengganasan antarabangsa, boleh dikatakan hampir seluruh komponen negara diseru dan diajak untuk sama-sama berganding bahu bagi membasmi unsur-unsur pengganasan termasuk institusi-institusi agama, masjid dan asatizah.

Saranan saya, jangan sampai kita kurang memberi perhatian terhadap ideologi pengganas samseng yang sebenarnya tiada banyak bezanya dengan pengganas yang menyasarkan masyarakat dan tempat awam sebagai mangsa. Sudah sampai masanya, seluruh masyarakat diajak sama untuk berkempen besar-besaran menentang penularan dan perkembangan ideologi pengganas samseng. Sebelum nanti, semakin ramai di kalangan anak-anak kita sendiri yang terpengaruh dengan ideologi pengganas samseng.

Jika sekolah-sekolah juga diminta agar turut menyertai dalam usaha mengekang ideologi radikal dan pengganas antarabangsa, pihak sekolah juga mesti disedarkan akan bahaya perkembangan ideologi samseng yang kebanyakannya bermula dari alam persekolahan. Banyak kumpulan samseng yang menyasarkan para pelajar yang diajak untuk menyertai kumpulan mereka.

Tatkala mereka yang terpengaruh oleh idologi pengganas antarabangsa adalah melalui Internet dan 'ustaz' tidak bertauliah, ideologi pengganas samseng pula menyebarkan ideologi pengganasan mereka secara langsung (direct) dengan 'ustaz-ustaz' mereka terdiri daripada ketua-ketua samseng atau kaki-kakinya yang bermaharajalela. Mengapa isu 'ustaz' tidak bertauliah yang menyebarkan ideologi membahayakan diberikan perhatian penuh sedangkan 'ustaz-ustaz' (ketua-ketua) samseng dibiarkan dan tidak dipandang bahaya?

Begitupun juga apabila setiap ibu bapa diseru agar berwaspada terhadap anak-anak mereka jangan sampai mereka menjadi mangsa pengganas antarabangsa dan menjadi radikal menyendiri, ibu bapa juga mesti diajak secara serius membasmi penularan ideologi pengganas samseng dengan bersikap tegas terhadap anak-anak mereka yang menampakkan tanda-tanda pengganas samseng. Ibu bapa juga perlu diberi bantuan bagaimana mahu menangani sikap ganas anak-anak mereka yang telah menjadi anggota pengganas samseng.

Semenjak sedekad yang lalu, ramai anak-anak belia Melayu/Islam lelaki dan perempuan telah terpengaruh dengan ajakan untuk menyertai kumpulan-kumpulan samseng. Kerosakan terhadap nilai-nilai penghidupan manusia angkara ideologi samseng begitu ketara dan tidak perlu banyak penelitian; bertatu hampir seluruh tubuh, berpakaian dan berperhiasan yang luar nilai-nilai norma, belum lagi yang terlibat dengan jenayah, penjualan VCD haram, kegiatan tailong hinggalah kepada merusuh, bergaduh sampai kepada bunuh-membunuh.

Kumpulan akar-umbi, institusi Islam, masjid dan asatizah perlu diseru dan diajak untuk menyebarkan mesej tentang bahayanya ideologi pengganas samseng, bahkan saluran khutbah-khutbah juga wajar digunakan dalam usaha membasmi dan menentang penularan ideologi pengganas samseng. Sepertimana kita bersuara lantang mengutuk ideologi pengganas, kita juga mesti sebulat suara mengutuk dengan keras mereka yang menjadi dalang kepada perkembangan ideologi samseng.

Sekiranya semua institusi dan para pemimpin Melayu Islam sangat-sangat khuatir jangan sampai suatu masa berlaku sekelompok anak Melayu Islam yang menjadi anggota pengganas meletupkan suatu tempat awam hingga ramai mangsanya adalah orang-orang bukan Islam, yang mana keadaan sedemikian akan mengundang tindak balas orang-orang bukan Islam terhadap masyarakat Islam sepertimana yang berlaku di negara-negara Eropah, kenapa tidak pula kita juga perlu merasa khuatir jika suatu hari nanti para pengganas samseng Melayu Islam merusuh hingga ramai yang menjadi mangsanya adalah orang-orang bukan Islam, sudah tentu implikasi seperti rusuhan kaum juga berkemungkinan besar boleh berlaku semula jika perkembangan ideologi pengganas samseng tidak dibendung. Jangan lupa, mereka yang menjadi anggota pengganas samseng adalah manusia anti-keharmonian, mereka tidak mempunyai fikiran jangka panjang dalam kamus kehidupan mereka; yang ada hanya fikiran jangka pendek seperti bagaimana memusnahkan orang lain lalu bermegah dengan tindakan tersebut dan bagaimana mendapatkan kesenangan dengan cara mudah (jenayah), meskipun merugikan orang lain.

Kenyataan ini tidak bertujuan sama sekali ingin mencari jalan untuk menuding jari kepada sasaran lain agar isu menentang pengganasan antarabangsa tidak diberi perhatian. Akan tetapi, kita mengharapkan agar segenap lapisan masyarakat dan para pemimpinnya dapat menilai faktor pengganasan ini dengan penilaian yang lebih luas, bukan penilaian yang sempit.

Kita semua, khususnya yang hidup di bumi Singapura ini, telah sekian lama bekerja keras untuk menghidupkan budaya harmoni dan aman antara kesemua bangsa dan agama. Berikan dunia ini hak keamanannya agar kita semua boleh hidup tenang hingga tiap kali anak anggota keluarga kita keluar rumah, kita tidak perlu merasa khuatir mereka akan menjadi mangsa apa jua bentuk pengganasan.



Ustaz Abdul Rahman As-Shobuuniy 
Pengarah
Fiqh Consultancy & Services


[Admin: Artikel ini ditulis pada 26hb Julai 2010. Sedikit ubah-suai (editing) telah dilakukan tanpa merubah maksud asal.]

No comments:

Post a Comment