Monday, October 11, 2010

Riwayat Hidupku - Bahgian Keempat

Menjadi “Thamby”

Dalam usiaku antara sepuluh dan dua belas tahun, aku pernah membantu di warong Bai Sarbat, Mama Kambing Sup dan Mama Mee Goreng di tempat makan tidak jauh dari rumahku. Puas aku dimarahi kalau ada yang tidak kena. Kadang kala diriku dipersalahkan kalau penjualan hari itu tidak begitu baik, namun setiap kali akhir malam sebelum pulang, aku akan merayu agar diriku dibenarkan membantu lagi pada esok hari.

Mama-mama India tahu akan kesusahan keluargaku, kerap juga mereka katakan kepada aku:

“Tamby, hari ini last, besok tak mu mari.”

Yang madsudnya pada malam itu merupakan malam yang terakhir aku boleh membantu di situ. Lebih-lebih lagi kalau ada kesilapan seperti pinggan mangkuk yang jatuh atau aku dimarahi oleh pelanggan kerana tersalah menghantar makanan.

Tetapi bilamana mereka melihat wajahku, timbul perasaan belas kasihan kepadaku, lantas mereka akan panggil aku membantu lagi. Begitulah yang berlaku hampir setiap malam. Aku mula membantu mereka dari jam 6.00petang hingga jam 12.00malam. Setiap malam aku akan diberi $1.00 dan sebungkus makanan.

Setelah aku dewasa, apabila aku pulang ke rumah ibuku di Kallang Airport dan bertemu dengan mama-mama yang masih hidup dan menjaja di sana, mereka akan memelukku dan ada yang sampai menangis mengenangkan semula masa silamku bersama mereka. Aku telah membesar di hadapan mereka.

Kesusahan telah menyebabkan kami sering dipandang hina. Ibuku yang keluar bekerja juga sering juga dilontarkan tohmahan dan fitnah. Keluargaku yang berantakan hanya mendapatkan cemuhan. Yang lebih memilukan aku, apabila yang mencemuh itu terdiri tidak lain daripada saudara-mara dan bangsaku sendiri.

Untuk menghulurkan bantuan adalah jarang sekali, kebanyakkan mereka mengatakan, mereka mempunyai masalah sendiri, tetapi mereka sedikitpun tidak mempunyai masalah untuk mengutuk dan mencemuh kami. Begitulah sikap bangsaku sendiri terhadap kami.

Namun aku tetap akan mendoakan saudara-maraku yang sentiasa menghulurkan simpatinya kepada keluargaku, khususnya Pakcik dan Makcikku Hj. Ahamad Sulaiman dan Hajjah Bee. Merekalah antara orang yang tidak jemu-jemu membantu kami hinggalah kami semua dewasa.


Pembantu Rumah

Pada setiap musim cuti persekolahan, aku dan kakakku akan dihantar ke rumah salah seorang ibu saudaraku pada setiap hujung minggu. Di samping aku dan kakakku membantu ibu saudaraku yang ketika itu baru mendapatkan anak, kami dua beradik akan ditanggung makan-minum selama kami berada di sana.

Namun tempat teduh yang sangat diharapkan pada satu hari mula bergelora. Salah seorang ahli rumah tersebut telah kehilangan wang. Cari punya cari, maka wang tersebut didapati berada di dalam saku seluarku yang kononnya tercampak di hadapan pintu bilik ibu saudaraku.

Aku dituduh mencuri wang tersebut dan hampir dihalau dari rumah itu. Demi Allah yang jiwaku berada ditanganNya, aku tidak mencuri wang tersebut. Mujurlah ada di kalangan ahli rumah itu dapat berfikir dengan waras. Beliau bangkit untuk membela aku yang ketika itu masih sangat kecil untuk mencuri wang sebanyak itu.

Menurutnya kalau betul aku mencuri wang tersebut, bagaimana seluar aku tiba-tiba boleh berada di hadapan pintu bilik ibu saudaraku sedangkan seisi rumah sedang sibuk mencari wang tersebut. Rupa-rupanya ada salah seorang di kalangan ahli keluarga tersebut yang lain telah mencurinya.

Begitulah hikmah rahasia Allah swt. Aku teringat kisah Nabi Yusuf as semasa beliau menumpang hidup di salah sebuah rumah orang ternama di negeri Mesir. Keadaan Nabi Yusuf as telah menyebabkan isteri pembesar tersebut ingin berbuat jahat terhadapnya.

Tatkala hampir terjadi apa yang berlaku antara seorang lelaki dan perempuan di dalam sebuah bilik, maka tiba-tiba si Pembesar negeri itu datang membuka pintu biliknya.

Melihat kepulangan suaminya, maka dengan segera si wanita itu segera bersorak seolah-olah dia akan diperkosa. Nabi Yusuf as hanya dapat berdiam diri, kerana dia sedar sudah tentu tiada siapa yang akan percaya padanya.

Namun kebenaran akan sentiasa bersama orang yang benar. Muncullah seorang di kalangan ahli keluarga tersebut yang cuba mengadili keadaan itu. Berkata lelaki yang berhemah tinggi itu:

“Jika pakaian Yusuf didapati koyak dari depan, maka berarti benarlah si wanita itu, jika didapati koyak tersebut terdapat di belakang maka jelaslah Yusuflah yang benar dan si wanita itulah yang sebenarnya yang mahu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Yusuf.”

Maka apabila diperiksa pakaian Yusuf, didapati pakaiannya itu koyak di belakang, dengan itu terbongkar segala angkara si wanita isteri kepada pembesar negeri Mesir. Kisah ini telah Allah swt ceritakan di dalam Al-Quran untuk dijadikan sebagai iktibar yang kebenaran akan tetap terserlah.


Mula Bekerja

Aku mula bekerja sebagai pembantu tukang kayu di kilang perabot, pada mulanya memang seronok bekerja, setiap hujung minggu aku akan dapat gaji. Sehari aku diberi $4.00. Kemiskinanku selama itu telah menjejas fisikalku, aku bertubuh kurus dan sangat lembab pergerakanku. Kerana sebab itulah aku sering dicaci dan dimaki oleh majikanku kerana lambat menghabiskan kerja.

Aku bertukar dari satu kerja ke satu kerja yang lain. Pernah satu ketika aku bekerja di Soon Chow Pte Ltd, sebuah syarikat membuat bas awam yang terletak di Kallang Puding Road. Ketika itulah kepalaku pernah dijotos kerana lambat menghabiskan kerja.

Kata tauke ku:

“bla.. bla.. bla.. (maki dalam bahasa cina), you`re good for nothing, you`re going to get sack.”


Menyertai Kumpulan Samseng

Dalam suasana hidup yang seperti itu, aku menjadi semakin liar. Aku menyertai kumpulan samseng bagi mencari martabat dan perlindungan. Kerap kali aku akan ditahan reman di lock-up Joo Chiat Police Station atau di Beach Road Police Station, dengan setiap kali tahanan selama 24 jam. Itulah cara pihak polis ketika itu, untuk membendung kenakalan para remaja dan kumpulan-kumpulan samseng gelap.

Tidak seperti remaja-remaja nakal hari ini, mereka harus merasa beruntung kerana “Hak asasi manusia” telah menghilangkan sistem polis yang terdahulu. Aku bersyukur sistem yang seperti itu sebenarnya telah membantu remaja seperti aku untuk mencari perubahan hidup.

Seperti remaja sekarang, hidupku dipengaruhi oleh tren semasa, kerana kekosongan jiwa dari pengajaran agama Islam. Aku tidak pernah kenal akan erti ajaran Islam. Aku tidak menyalahkan sesiapa kerana menjadi begitu. Suasana dan keadaanlah yang telah mempengaruhi diriku. Paling aku gemari adalah menghadiri upacara pengkebumian orang Cina mati. Di situ yang hadir akan diberi makan kuih-muih Cina dan minuman botol air gas. Apabila aku turut mengantar sampai ke kuburan, setiap yang hadir akan diberi duit sepuluh sen yang dibungkus dengan kertas merah.


Merokok

Pada usia remaja setelah memperoleh pendapatan sendiri, aku telah mula merokok. Aku telah mula merokok dalam usia seawal 14 tahun hinggalah usiaku menjangkau 27 tahun barulah aku berhenti merokok.

Benar sekali ajaran Islam dalam menetapkan bahawa betapa pentingnya untuk mewujudkan suasana dan keadaan yang baik dan sihat, suasana akan memainkan peranan yang penting untuk mencorak penghidupan seseorang.

Aku berharap, para remaja sekarang yang membaca riwayatku ini, dapat mengambil langkah yang serupa seperti aku dalam memilih jalan perubahan kehidupanku. Kalau tidak kita akan terus hidup dengan bermasalah sampai bila-bila.

Memang seronok menjadi anggota kumpulan samseng, ia menjadikan kita berani untuk melakukan apa sahaja. Berani apabila kita ramai, tetapi kalau sendiri, kita akan merasa gerun, takut kalau-kalau terserempak dengan kumpulan lain atau terserempak dengan orang yang pernah kita “bedal” ramai-ramai. Di sana-sini orang “segan” kepada kita, namun sebenarnya orang bukan segan dan takut kepada kita, tetapi orang benci dan tidak senang kepada kita.

Di kalangan kawan dan lawan, aku memang disegani dan ditakuti. Di kalangan masyarakat dan jiran tetangga, aku semakin dibenci dan hilang segala simpati.

Masyarakat memandang kita sebagai “sampah” yang mahu mereka lontarkan sahaja ke dalam tong sampah. Aku harap remaja-remaja sekarang yang melibatkan diri mereka dengan kumpulan-kumpulan samseng, agar dapat berfikir dengan waras.

Aku lantas berfikir, sampai bila kita mahu menjadi seperti itu? Sampai bila kita dapat sentiasa di kelilingi oleh rakan-rakan yang satu kumpulan dengan kita. Pasti ada satu saat atau satu ketika yang mana kita akan menyendiri.

Bunuh Diri

Antara teman-teman sepermainanku semenjak kecil adalah kawan-kawan berbangsa Cina yang sejiran denganku. Wah Chai, Man Chai, Ah Chai, Peng Soon, Ah Choy, Ah Cheong adalah nama-nama yang tidak pernah aku lupakan. Merekalah kawan-kawanku semenjak kecil sehingga kami menjangkau usia remaja. Bersama mereka aku bermain goli, police and Thief, berenang laut di Katong Park, berbasikal, menjolok buah mangga orang, menonton wayang, hinggalah kami dewasa, kami membentuk satu kumpulan bermotosikal. Susah senang kami sering bersama. Antara mereka yang akrab denganku adalah Wah Chai yang nama glamornya adalah Chuck. Aku dan Chuck sering bersama, khususnya apabila aku ada masalah, dialah yang akan menemankan aku, begitu juga apabila dia mempunyai masalah, aku pula yang akan menemaninya.

Pernah suatu ketika kami sama-sama dilandung masalah dengan keluarga. Maka dengan basikalnya, kami berputar sekeling Singapura hingga ke larut malam. Pada malamnya kerana kedua-dua kami bertekad tidak mahu pulang, maka kami memutuskan untuk tidur di sebuah bus stop di hadapan nite club Oasis di Kallang Park tidak jauh dari stadium negara.

Jam ketika itu sudah melewati lebih dari tengah malam. Tiba-tiba di bangunan nite club Oasis itu aku seperti ternampak lembaga putih seorang wanita yang tidak ada kepala mundar-mandir di tingkap bangunan tersebut. Aku lantas mengejutkan Wah Chai. Wah Chai bangun dengan terpinga-pinga, aku tunjukan kepadanya apa yang telah aku nampak. Alangkah takutnya kami lantas kawanku terus mencapai basikalnya bersedia untuk cabut lari, akupun apa lagi, segera melompat naik kebasikalnya dan terus dikayuhnya macam lipas kudung. Semenjak itu kami tidak berani kekawasan itu pada malam hari.

Padahal kawasan nite club tersebut dan juga kawasan Stadium Negara adalah kawasan yang mana aku sering menjaja nasi lemak dan epok-epok di siang hari semenjak mula ia dibina.

Itulah kenangan yang tidak dapat aku lupa semasa kecilku bersama kawan-kawanku. Setelah kami dewasa, keadaan menjadi berubah, Wah Chai temanku kerana tidak dapat menerima hakikat keluarganya mempunyai masalah, maksudku antara bapa dan ibunya, dia mula mengambil dadah, kononnya untuk meredakan tekanan jiwanya. Dadah yang popular ketika itu adalah pil MX. Namun, setiap kali kekhayalan dadah itu habis, perasaannya kembali menjadi tidak tenteram.

Pada suatu hari pada tahun 1976, aku mendapat satu berita yang sangat memeranjatkan aku. Temanku Wah Chai telah membunuh dirinya dengan mengabil pil MX yang berlebihan lalu terjun dari tingkat sembilan di blok 91 yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Tubuh badannya hancur dengan luka-luka. Aku menangis melihat mayat kawanku itu. Banyak di kalangan teman-teman kami yang hampir-hampir tidak mempercayai yang temanku Wah Chai boleh bertindak sedemikian.

Inilah akibat tindakan manusia yang tidak beriman, bagi mereka mati merupakan penyelesai yang terbaik. Namun aku juga pada ketika itu tidak menyedari hakikat ini melainkan setelah aku diselamatkan oleh Islam. Antara kebodohan aku ketika itu, kerana terlalu akrab dengannya, aku dan teman-temanku telah memainkan gitar di sepanjang majlis kematiannya hinggalah mayatnya itu dikebumikan, kononnya mahu menenangkan jiwanya dengan lagu-lagu kegemarannya. What a stupid things to do !

Sekarang baru aku sedar dengan sinaran Islam, tiada orang yang hidup tanpa masalah dan tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Mengambil dadah, bunuh diri atau mengambil langkah-langkah yang tidak diredhai Allah swt, tidak akan menyelesaikan masalah kita. Segala masalah datangnya dari Allah swt dan hanya melakukan perkara-perkara yang disukai Allah sahaja yang boleh menyebabkan Allah melepaskan kita dari segala masalah.



Bersambung lagi...........................