Saturday, June 19, 2010

Zikir: Ibadah Yang Disalah Ertikan

Muqaddimah

Alhamdulillah segala puja dan puji kepunyaan Allah swt dan Selawat beserta Salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan Ahli keluarganya, begitu juga kepada sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkahnya ke akhir zaman.

Berzikir merupakan suatu tuntutan agama Islam yang penting, kerana zikir menghubungkan antara manusia dengan Khaliqnya, ia juga merupakan gabungan antara Aqidah dan Ibadah. Oleh itu segala Ibadah mestilah mempunyai dasar yang kukuh, kalau tidak ia akan membawa kepada kesia-siaan atau kesesatan.

Dewasa ini, ada semacam kefahaman yang berkaitan dengan hakikat zikir. Segolongan yang keterlaluan sangat dengan amalan zikir hingga kebanyakan masa penghidupannya ditumpukan kepada berzikir, sementara segolongan yang lain pula, memandang remeh amalan berzikir hingga penghidupan mereka pula sepi daripada berzikir.

Zikir bukan suatu amalan khusus yang hanya ada pada agama Islam sahaja, boleh dikatakan setiap agama selain Islam juga ada zikir-zikirnya tersendiri. Islam adalah agama yang unik yang berbeza dari agama-agama lain. Zikir yang ada pada agama lain merupakan suatu amalan kerohanian yang dipisahkan sama sekali dengan penghidupan seharian, orang-orang yang mahu mengamalkan zikir harus memisahkan dirinya dengan segala tuntutan hidup dan menyendiri di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara sendiri-sendiri atau dilakukan dengan beramai-ramai. Sebab itulah tidak menjadi satu kemustahilan, apa yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Islam dengan menggunakan istilah zikir turut dipengaruhi oleh budaya zikir yang bukan dari ajaran Islam. Lebih-lebih lagi bilamana anjuran-anjuran masa lampau dan kini mengajak Ummat Islam sentiasa bercampur gaul dengan masyarakat yang bukan Islam, kemungkinan percampuran ideologi boleh berlaku bukanlah merupakan sesuatu yang disangsikan.

Zikir di dalam Islam pula merupakan suatu amalan yang berjalan serentak dengan tuntutan penghidupan seperti makan, minum, tidur, bangun, berjalan, sebelum sesudah buang air, bahkan tatkala mahu bersatu dengan isteri juga ada zikirnya. Di samping zikir juga ada pada amal ibadah seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Keadaan yang sedemikian itulah yang mendorong saya untuk membuat semacam pengkajian bagi mencari jalan penghuraiannya. Usaha pengkajian ini dilakukan dengan menggali dasar Zikir mengikut ajaran asalnya iaitu dari perspektif Al-Quran. Namun, dengan hanya berlandaskan Al-Quran sahaja tidak cukup untuk mencerminkan hakikat Zikir yang sebenar kerana Al-Quran walaupun mengandungi banyak ayat-ayat tentang zikir tetapi kebanyakannya disebut secara umum tidak terperinci, akhirnya berbagai macam tafsiran yang terjadi hingga mewujudkan berbagai macam kefahaman terhadap konsep zikir. Maka Pencontoh zikir yang paling tepat dan baik adalah Baginda Rasulullah saw yang digelar "Al-Quran Bergerak".

Namun, usaha ini dibuat dengan penuh kesedaran bahawa ianya bukanlah merupakan usaha yang pertama wujud dan yang paling baik, kerana sebelum ini, semenjak dahulu lagi telah muncul berbagai usaha dari para ulama kita yang terdahulu dalam mencari penghuraian masalah ini.

Usaha ini merupakan suatu usaha Pengkajian Ilmiah dari seorang manusia yang kerdil di sisi Tuhannya dan sudah tentu ada kelemahannya yang harus dimaklumi. Tidak ada niat sama sekali untuk menimbulkan persengketaan dan perbalahan khususnya di kalangan saudara-saudara saya Asatizah yang sebahagiannya berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza daripada apa yang saya datangkan di dalam buku saya ini. Jadikanlah buku ini sebagai salah satu perbendaharaan ilmu bagi tatapan masyarakat Islam, kerana segala format pembahasan ini tidak lari dari garis pandu ilmiah Islam yang terdiri daripada dalil-dalil Al-Quran, Hadits dan Qaul para Ulama khususnya dikalangan Madzhab Syafii. Jangan pula ianya dijadikan sebagai suatu ancaman kepada diri dan kefahaman kita. Biarlah para pembaca diberikan hak untuk menilainya sendiri.

Adapun yang akan saya bahaskan adalah dari sudut-sudut berikut:
  • Makna dan Maksudnya
  • Perbezaan Zikir dengan Jampi Mantera
  • Zikir Dalam Al-Quran
  • Ihsan dan Zikir
  • Hukumnya
  • Fadhilatnya
  • Zikir Rasulullah saw
  • Cara dan Bahan Zikir
  • Pelampau Zikir
  • Ilmu Ghaib
  • Ijazah dan Zikir
  • Zikir dan Hikmahnya
Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada yang membacanya. Tidak lupa saya ucapkan kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Hj. Abu Bakar Hashim yang telah memberikan kata-kata nasihat kepada saya dan juga telah sudi untuk memberikan kata-kata aluannya, kepada Allah sahaja saya tujukan doa semoga Allah merahmatinya dan membalas segala jasa baiknya dengan balasan yang setimpal. Tidak ada yang lebih diharapkan melainkan keredhaan Allah swt.


Oleh:
Abdul Rahman Mohamed
BA (Hons) Syariah, Medina 
1 Sep 2002 / 23 Jumadil Akhir 1423H

No comments:

Post a Comment